Tuesday, October 16, 2012

Satu Pemergian Mengulit Dua Insan

Pada 31 December 1992. Ayah pergi meninggal seorang isteri dan 12 orang anak. Masa tu usia aku baru 7 tahun. Sempat aku mengaji bersamanya pada malam hari sebelum ayah meninggal dunia. Pada malam tu, ayah asyik suruh aku tidur tapi aku berdegil ajaknya mengaji bersamaku. Semua sedih dengan pemergian ayah. Emaklah yang paling sedih waktu itu. Seingat aku, emak menangis sepanjang masa. Aku yang asyik di sisi emak turut menangis bersama. Tapi setelah melihat semua teman sepermainan turut berada dalam masjid, aku berlari dan bermain bersama mereka. Aku hanya bermain dan terus bermain sehingga aku dikejutkan dengan keadaan emak yang pitam semasa menjiruskan air pada jenazah ayah yang dimandikan.

Aku menangis semula selepas panggilan kakak-kakak dan abang-abang untuk mengucup wajah ayah buat kali terakhir sedangkan tadi aku leka bermain. Aku menangis hanya pada ketika itu. Ketika aku melihat mereka yang lain juga menangis. Ibuku, abang-abangku dan kakak-kakakku. Mereka berkali-kali ulangkan padaku bahawa ayah takkan kembali lagi. Ayah terus bersemadi dan aku takkan dapat bersamanya lagi. Kata mereka aku mengangguk faham, tapi hakikatnya aku asyik bertanya bila ayah akan balik dan pertanyaan itu sungguh menusuk hati mereka yang mendengar.

Aku sendiri tak faham pada ketika ini mengapa aku begitu dungu sungguh aku pada usia itu. Sehingga mereka berkata aku lah yang paling sukar untuk mengerti pemergian ayah yang menghadap Penciptanya. Hanya yang aku ingat pada satu masa, mungkin seminggu selepas pemergian ayah, aku dihambat oleh abangku kerana menyanyikan lagu 'Ibu' dari kumpulan Exist yang terkenal pada waktu itu dengan versi "Ayah". Kehilangan ayah amat dirasai oleh seluruh ahli keluargaku KECUALI aku.

Sehinggalah pada 17 September 2012 aku dikejutkan dengan panggilan dari abangku mengatakan bahawa abang iparku meninggal dunia. Abang iparku yang paling tua dalam keluarga kami. Dia lah orang ku anggap pengganti ayah. Dia sering berkata pada suamiku bahawa dia mengenal semua tentang diriku. Almaklum, dia berkahwin dengan kakakku sebelum aku dilahirkan ke dunia. Dari kecil sehingga sudah mempunyai keluarga sendiri, dia antara orang yang selalu mengambil berat dan menyayangi aku. Sewaktu aku kecil, dia selalu membawaku berjalan-jalan berhibur bersama keluarganya. Usiaku yang lebih kurang usia anaknya bertambah menyeronokkanku. Sehingga tamat persekolahanku, aku meneruskan kemaraan ke peringkat yang lebih tinggi. Adakalanya, dia bangga dan bercerita tentang kecemerlanganku dan melawatku di kolej. Aku dapat rasakan dia seperti ayahku sendiri. Dia sering membeli buah tangan untukku sekiranya dia keluar negara. Aku selalu bercerita pada suami tentang apa yang dikecapi hari ini adalah kerana dia tak pernah kedekut untuk anak yatim ini. Bukan aku saja, malah dengan orang lain juga dia tidak pernah berkira. Sebab itulah rezekinya murah.

Aku menghormatinya. Aku menyayanginya. Tapi Allah lebih sayangkan dia. Dia mengambil berat segala hal mengenai aku. Aku bersyukur kerana wujudnya dia dalam hidup aku. Pemergiannya dengan keadaan yang begitu menyenangkan kami sekeluarga. Hari ini genaplah sebulan dia telah pergi meninggalkan kami. Semoga rohnya ditempatkan dikalangan orang yang beriman.. Amin~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PASSION FIGHTING FOR THE BEST

Daisypath Anniversary tickers

Aanisah Faqihah's

Lilypie - Personal pictureLilypie Second Birthday tickers

Azra Farzana's

lb1f.lilypie.com/TikiBlogger.php/NV8x